Identiti Rider Motosikal Yang Terkorban Pesawat Terhempas Di Elmina Dikenalpasti.

Kuala Lumpur: “Abang saya terbabit dalam nahas pesawat di Subang (Elmina, Shah Alam), ada tak rakan terdekat yang boleh tolong buat pengecaman mayat?

Demikian pesanan dititipkan Norhikmah Muhammad Salleh, 26, adik kepada penunggang motosikal yang dilaporkan maut dalam kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, kira-kira jam 2.40 petang semalam.

Norhikmah menitipkan pesanan itu sementara dia sekeluarga dari Sungai Petani, Kedah, menuju ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor, bagi proses pengecaman mayat abangnya, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32.

“Saya adik kepada Muhamad Hafiz. Abang saya terbabit dalam kemalangan pesawat terhempas di Subang. Ada tak kawan terdekat yang boleh tolong ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang untuk pengecaman mayat?

“Kami sekeluarga dalam perjalanan dari utara (Taman Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah),” katanya menerusi mesej ringkas dihantar kepada kumpulan WhatsApp beberapa pekerja p-hailing berpangkalan di Subang Bestari di sini.

Muhamad Hafiz adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut akibat kejadian itu.

Pesawat peribadi itu berlepas dari Langkawi, Kedah dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, pada jam 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum waktu pendaratan.

Sementara itu, Norhikmah ketika dihubungi berkata, berita pemergian abangnya itu hanya diketahui selepas keluarganya menerima panggilan telefon daripada pihak berkuasa, selepas selesai solat Maghrib.

Beliau sekeluarga mengakui terkejut dengan insiden menimpa abangnya itu, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Ibu dan ayah pesan supaya kami reda dengan pemergian abang, meminta kami semua doakan supaya semua urusan beliau dipermudahkan.

“Kami sekeluarga kini tiba di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan sedang menuju ke HTAR di Klang bagi urusan pengecaman arwah abang.

“Jenazah abang akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani, sejurus selesai semua prosedur,” katanya kepada BH, malam tadi.

Norhikmah berkata, Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu ada menyatakan hasrat pulang ke kampung bagi membuat persiapan kenduri ketika menghubungi bapanya, minggu lalu.

“Abang ada kata mahu pulang 20 Ogos ini, kami sekeluarga mahu buat persiapan sempena perkahwinan kakak yang dijadual berlangsung 26 Ogos.

“Namun, Allah lebih menyayangi abang. Walaupun seorang yang pendiam dan tegas, tetapi dia sangat penyayang,” katanya.

Sumber: hm

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*