‘Taknak Kahwin Lagi Walaupun Dah 10 Tahun Jalin Hubungan Sebab….”-Amylea Azizan

KUALA LUMPUR: Meniti usia 32 tahun, penyanyi dan komposer, Amylea Azizan tidak tertekan untuk segera menamatkan zaman solo dengan buah hatinya, Farouk Flava walaupun sudah 10 tahun menjalin cinta.

Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu berkata, mereka berdua sepakat hanya akan mendirikan rumah tangga selepas masing-masing mencapai cita-cita yang diimpikan.

“Insya-Allah, perancangan untuk berkahwin itu memang ada, memandangkan tahun ini genap sedekad kami bercinta. Cuma, buat masa ini, kami berdua mendahulukan kerja berbanding perkara peribadi kerana mahu mencapai apa yang diimpikan.

“Kalau ditanya sasaran perkahwinan, kami menetapkan tahun depan. Jika masih tidak menjadi kenyataan, kami tidak kisah menunggu tahun berikutnya. Usaha ke arah itu memang ada, cuma belum termakbul,” katanya.

Ditanya tidakkah gusar dengan ujian yang mendatang apabila bercinta terlalu lama, penyanyi yang baru muncul dengan single, Tak Pernah Hilang, duet bersama Kaer berkata, dia dan Farouk sudah melepasi fasa getir itu.

“Ketika mula-mula berkawan, kami berdepan pelbagai dugaan, terutama ketika masih dalam peringkat menyesuaikan diri. Tetapi, selepas lima tahun berkawan dan sudah saling memahami antara satu sama lain, semua dugaan itu berjaya kami atasi.

“Alhamdulillah, setakat ini, tidak timbul masalah seperti kehadiran orang ketiga yang cuba mengganggu hubungan kami. Tetapi kalau ada, saya anggap ia penghargaan kerana ada juga orang yang suka dengan kekasih kita,” katanya tertawa.

Mengulas penghasilan single terbarunya itu, Amylea berkata, projek itu sudah lama dirancang, tetapi baru kini terlaksana.

“Sudah tiga tahun kami merancang projek lagu duet ini tetapi tidak pernah menjadi kerana ada sahaja halangan. Nampaknya, kali ini projek itu berjaya juga dilaksanakan.

“Kehadiran kami bukan untuk menggugat sesiapa, sebaliknya sekadar memeriahkan lagi industri, selain memberi keseimbangan terhadap lagu yang diputarkan di corong radio,” katanya.

Lagu ciptaan sepenuhnya Amylea itu turut dijadikan lagu tema drama rantaian, Nur yang bakal disiarkan di TV3, Ramadan ini.

 

Sumber: BHarian

Facebook Comments