Tak Pernah ‘Bersama’ – Hafiz Hamidun

KUALA LUMPUR 22 AUGUST 2017. Sidang Media berhubung penjelasan dari penyanyi, Hafiz Hamidun mengenai isu permohonan pembubaran perkahwinannya bersama usahawan kosmetik, Joy Revfa. NSTP/ROSELA ISMAIL

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Hamidun mendakwa tidak pernah melakukan hubungan kelamin dengan Siti Arifah Mohd Amin atau Joy Revfa yang dinikahinya pada 1 Mei lalu.

Hafiz, 33, memberitahu, sejak hari pertama pernikahan, dia menganggap lebih wajar menyelesaikan masalah yang timbul sebelum menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan Siti Arifah.

“Mengadakan hubungan seks? Tidak pernah. Kita cuba menjalankan tanggungjawab seperti mana orang yang baru kahwin.

“Tetapi kerana keraguan (mengenai status perkahwinan Siti Arifah terdahulu), saya bertindak menjauhkan diri yang boleh menimbulkan masalah pada masa akan datang.

“Dari hari pertama, selepas mendapatkan nasihat, saya rasa wajar untuk saya bertindak menyelesaikan masalah sebelum menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Saya tidak lari,” katanya pada sidang media menjelaskan kontroversi perkahwinannya di sini, sebentar tadi.

Ditanya adakah dia masih menyimpan rasa sayang terhadap Siti Arifah, Hafiz mengaku sukar mengulas perkara itu. Ini kerana apa yang terjadi membuatkan dia tidak mempunyai perasaan terhadap wanita itu.

“Saya dah usaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini. Saya fikir, sekiranya perkahwinan kami tidak sah, saya reda, dan tunggu sehingga edah selesai. Tidak mengapa, saya boleh tunggu.

“Nak kata sayang lagi atau tidak, apa yang berlaku tidak membenarkan saya meneruskan perasaan saya,” katanya.

HAFIZ Hamidun dan Joy Revfa.

Hafiz menambah, perceraian Siti Arifah diketahuinya melalui pesanan mesej aplikasi Whatsapp yang dikirim Mohd Rayos Abdul Rahim, iaitu suami terdahulu Siti Arifah.

“Berkali-kali Siti Arifah katakan pada saya dokumentasi cerai masih tiada dan mendakwa bekas suaminya tidak mahu selesaikan urusan perceraian. Dia tahu ini akan menimbulkan masalah kepadanya pada masa akan datang.

“Setiap masa saya meminta Siti Arifah menyelesaikan hal surat perakuan cerai dengan bekas suaminya. Tetapi dia tetap tidak menyelesaikan hal itu sehinggalah beberapa hari sebelum hari pernikahan,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Facebook Comments