“Mata hitam tak ada, muka seram” – Jururawat sempat rakam kawan cun bertukar ‘hantu’ – Viral

SEKALI pandang pasti ada yang kecut perut apabila menonton video tular yang memperlihatkan seorang jururawat sedang tersenyum sambil melambai-lambaikan tangannya dalam suasana gelap di sebatang jalan.

Lebih menyeramkan jika anda memandang tepat ke arah matanya yang berwarna kehitaman.

Ia pasti membuatkan anda tidak boleh tidur malam kerana teringat dengan senyuman, mata dan lambaian jururawat tersebut.

Rata-rata netizen meluahkan rasa takut malah ada yang tidak sanggup menonton video seram berdurasi 15 saat yang dimuatnaik seorang pengguna Twitter @sikucingpemalas pada Ahad.

Video yang dimuatnaik dengan kapsyen berbunyi, “Kalau drive sorang-sorang, ada misi tahan kereta macam ni hangpa nak berhenti dak? Hmmm” diulang kicau kira-kira 6,331 kali dan mendapat 4,493 tanda suka.

Bagaimanapun pemilik Twitter tersebut yang dikenali sebagai Syakira Ahmad Affandi memberitahu gadis tersebut bukanlah hantu seperti yang didakwa netizen.

“Ramai yang seram tengok (video). Dia bukan hantu tapi manusia biasa. Dia Fatin kawan sekolej saya. Saya pun dah jelaskan perkara sebenar dalam bebenang di Twitter saya.

Syakira (tiga dari kiri) bersama Fatin (dua dari kiri) merupakan rakan sekolej di sebuah kolej kejururawatan di Kulim, Kedah. Foto ihsan Syakira.

“Sebenarnya waktu tu kami baru balik kerja. Kami duduk dalam bas manakala kawan saya yang jadi ‘hantu’ tu dekat luar.

“Dia cuba nak agah kami. Lepas tu saya tengoklighting pun on point ‘seram’, nampak mata hitam dia tak ada, muka dia pun menyeramkan, jadi saya pun buat video,” kata jururawat pelatih berusia 24 tahun itu.

Namun Syakira berkata dia tidak menduga video tersebut akan mendapat perhatian netizen.

“Saya terkejut dapat banyak notifikasi dan bila bangun je dah tengok beribu-ribu retweet. Saya tak sangka video ni akan jadi viral.

“Saya tiada niat lain cuma mahu bergurau sesama kami. Lagipun Fatin pun layankan saya masa ambil video dia malam tu,” katanya kepada mStar Online.

Gadis ‘hantu’ tersebut, Nor Fatin Mokhtar berkata dia tidak menyangka lakonan seramnya itu menjadi.

“Sejujurnya saya tak tahu pun video tu seram bila orang lain tengok. Saya ni memang suka buat muka seram macam tu. Saya suka usik kawan-kawan.

“Jangan bimbang ya, saya bukan hantu… masih manusia lagi. Mungkin nampak mata hitam saja dalam video tu yang orang ingat hantu betul,” kata gadis dari Kelantan ini.

Nor Fatin Mokhtar. – Foto ihsan Nor Fatin.

Ditanya apa yang disebutnya semasa video itu dirakam, Nor Fatin atau lebih dikenali sebagai Fatin berkata dia mengajak rakan-rakannya yang berada di dalam bas untuk turun.

“Saya cakap ‘mai la mai la balik, depa dah nak pi dah tu’, mai la turun’. Ianya berlaku dengan spontan sebab saya sebenarnya dah naik bas tapi turun semula nak tunggu kawan.

“Saya pun tak sangka Syakira upload video tu kat Twitter sampailah family saya pun terkejut sebab dah viral,” katanya.

Namun Fatin berkata dia tidak sedikit pun terguris hati dengan kata-kata netizen yang menggelarnya sebagai hantu.

“Saya tak marah pun. Saya hanya mahu takutkan kawan sebenarnya tapi tak sangka ramai pula yang kata seram,” kata gadis yang meminati pasukan Liverpool itu.

Sebaliknya, Fatin berkata dia terkejut apabila menerima banyak ‘friend request’ selepas video seramnya tular di media sosial.

“Ramai DM (direct message) tanya saya ke yang viral tu. Saya pun terkejut sebab tiba-tiba dapat lebih 700 friend request,” katanya.

VIDEO:

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber : Mstar via Sinar Viral

Facebook Comments