Lima kenderaan remuk ditimpa kren

LIMA kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur rosak apabila sebuah kren penanam perancah di tapak pembinaan yang terletak berhampiran tumbang, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada 5.10 petang tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, berkata ketika kejadian dia sedang meletak kenderaan dalam jarak kira-kira 20 meter sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

Katanya, sebaik menjenguk keluar, dia melihat beberapa kenderaan lain dihempap sebuah kren yang tumbang.

“Saya dengar bunyi dentuman kuat dan bila keluar dari kereta, saya lihat beberapa kenderaan yang diletakkan di bahagian belakang rosak akibat dihempap kren.

“Bila datang dekat, saya dapati tiga kenderaan rosak teruk apabila tiang kren berkenaan jatuh di atas ketiga-tiga kereta itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pemilik kenderaan yang rosak, Alex Toh, 28, berkata dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak polis memaklumkan kereta rosak akibat dihempap sebuah kren.

“Benda sudah jadi, saya tak boleh nak buat apa-apa. Namun, saya akan tuntut ganti rugi daripada pihak pemaju atas kecuaian mereka,” katanya.

Mangsa lain yang mahu dikenali sebagai Jack berkata, dia tidak menyangka kejadian berkenaan berlaku berikutan sudah lima tahun meletak kenderaan di situ.

“Lima tahun saya letak kenderaan di sini apabila pergi ke tempat kerja, tetapi tidak sangka pula boleh jadi kejadian ini.

“Sebabnya, kawasan meletak kereta itu boleh dikatakan selamat dan tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Facebook Comments