12 kambing rentung

KANDANG kambing di Kampung Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani terbakar mengakibatkan 12 daripada 17 kambing rentung, semalam.

Dalam kejadian 6.50 petang itu keseluruhan kandang musnah, namun lima kambing berjaya diselamatkan.

Menurut pemiliknya, Mohd Sabri Mahmud, 54, ketika kejadian dia berada di rumah apabila dihubungi jiran memberitahu kandang kambingnya terbakar lalu bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika sampai saya lihat hanya lima kambing berjaya diselamatkan oleh anak, tapi seekor terpaksa disembelih akibat seluruh badannya terbakar, manakala 12 lagi rentung bersama kandang.

“Hanya tinggal 17 kambing sahaja dalam kandang ketika terbakar petang semalam yang lain sudah dijual sebelum ini. Namun kini hanya tinggal empat,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Sungai Petani, Penguasa Bomba Kanan, Mohd Hafizul Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.01 malam sebelum tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta ambulans Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba didapati kandang kambing terbakar dan tindakan segera dilakukan bagi memadam kebakaran. Api berjaya dipadam 15 minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan terdapat beberapa kambing ditemui rentung. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.

 

Sumber : Harian Metro

Facebook Comments